Untuk orang macam kita (ii) [21]


Cinta buat kita berani melangkah ke depan berbanding duduk dan cuma melihat. "Sedia setia," sabda Imran Ajmain berulang kali.

Cinta juga wujud meskipun tak pernah melihat, ia sekadar ada. Cinta menguatkan, sebagaimana kita bertuhankan graviti dan mempercayainya sedang memeluk sekalian alam -- agar kita semua masih teguh di sini. Tanpanya, kita tidak mungkin belajar mencintai dan dicintai. Keseimbangan alam beri kita peluang untuk memaknai hal-hal yang tidak mungkin kita fahaminya dulu. Dan dulu di sini bermaksud sebelum hakikat kemanusiaan mula bertapak. Cinta juga lahir pada waktu kita tak jangkakannya. Sewaktu sedang penat, lemah dan kosong, begitu jugalah sebaliknya.

Cinta buat kita rasa dikerah, semacam bekerja seumur hidup untuknya berserta sakit, luka dan sesal. Sebagai ubat, nasihat dan tempat berteduh.

Tentang cinta -- kita sering kecanduan cinta. Tetapi tiada siapa pun berani mengaku. Kita mencari cinta tak kiralah dari mana ia berasal. Yang nyata dan tidak nyata, caranya berdiri: sendiri atau ramai? Manusia atau kebendaan? Kekal atau sebentar? Kita mulai meragui cinta. Adakah cinta benar-benar menguatkan, atau ilusilah yang kita hadapi selama ini? Ironinya, yang menguatkan kita juga boleh melemahkan kita. Kita kuat kerana usaha kita, kita juga lemah kerana usaha kita. Dan sebaliknya.

Tentang pengorbanan -- mengikut resmi hidup, kita cuma perlu selamatkan orang-orang yang kita cintai. Ini bermakna, kita tidak mungkin selamatkan seluruh kemanusiaan sebab ini bukanlah misi ketuhanan. Berhentilah mengimani bahawa kita mampu lakukan semuanya. Berpijaklah di dunia nyata dan perlahan-lahan akuinya, kita tidaklah lemah sekiranya kita belajar melepaskan.

Selain kuasa -- cinta juga merupakan kepercayaan dan hubungan fraktal. Dan jikalau setiap seorang dari kita mempunyai seorang dua yang kita mampu selamatkan, ia lebih mencukupi berbanding kita masih terus menuding jari -- kenapa ianya bukan sepuluh atau ratus atau juta? Jari memang banyak, tapi mencintai dan dicintai tidaklah semudah petik jari, siram pokok bunga atau makan nasi. Tak perlulah bercakap kalau begitu kalau begini. Tak usahlah membanding-bandingkan diri. Mulakan langkah satu demi satu. Kemudian kita akan fahaminya, kemampuan kita sebesar mana? Sedangkan kita sudah lama tahu, tidak semua orang layak mencintai dan dicintai. Maka, carilah erti perjuangan di tempat lain. Tak usahlah tergesa-gesa meremehkan atau memaknai cinta.

Tentang perjuangan sepanjang hayat pula -- kekerdilan hidup lebih mudah dinikmati bersama orang-orang yang kita cintai.

Sebab cinta sentiasa meramaikan kita.