Allie Brosh [20]


Allie Brosh / Instagram

Bilik tidur di rumah betul-betul bersebelahan sebuah jalan raya kecil. Sepanjangnya pula, ada deretan kedai runcit, warung pagi, kedai dobi, dsb. Sunyi malam selalu menggemakan budak-budak bermain gitar di kaki jalan. Mereka bergitar, bergendang dan menyanyi sehingga ke subuh. Mereka nyanyi lagu-lagu Jamal Abdillah atau Awie atau Jinbara. Kalau saya masih segar, saya tak hiraukan pun. Saya akan tumpang dengar dan ikut mengangguk dan mengetuk jari di dinding. Lirik pun saya dah ikut hafal sekarang. Kalaulah ini Allie, Allie akan membenci sepuas hati. Dia akan teringat jirannya yang kerap menggitarkan Yellow Submarine pukul 2 pagi. Tapi itu Allie. 

Saya tak rasa orang lain sensitif macam kami. 

M pula akan tidur nyenyak sebab dia tak dengar apa yang saya dengar. Untuk mudahkan kerja-kerja bermimpi, saya akan tidur di bilik sebelah. Selesai masalah. 

Hari ini saya masuk semula ke bilik sebelah, ke ruangan berfikir. Saya panggilnya begitu sebab bilik ini berjaya kosongkan segala serabut. Mana yang perlu dicabut, dikerat -- saya akan kuburkannya di sini. Ada bunyi kipas berputar, bunyi saya menekan-nekan papan kekunci. Sesekali terdengar pintu gril jiran menangis. Tapi ini okey. Saya akan berehat atau duduk di sini sampailah saya mampu bertenang dan siapkan kerja-kerja berfikir. Ia tak mewah. Cuma ada meja, kerusi dan saya. Kadangkala saya akan baring di atas lantai berlapikkan dada sehingga terlena. Saya sukakannya di sini -- saya dan dunia saya. 

Mesti Allie macam ini jugak, kan? Meja berselerak. Wayar keluar masuk di mana-mana. Banyak buku-buku dan aksesori tak penting. Selain melekat di meja, Allie pun akan duduk di mana-mana sudut selesa dalam rumahnya dan mula bekerja. Melukis. Menulis. Memikirkan hal kekinian. Sekarang Allie lebih kerap melukis berbanding menulis. Nampaknya begitulah. Allie cuba tulis puisi berbanding prosa. Keratan-keratan puisinya masih sama macam dirinya: kelakar dan pesimis dan indah. Saya tersengih-sengih tiap kali tengok perkongsiannya di ai-ji. Harap tak nampak macam stalker sebab saya terpaksa buat akaun baru. Lukisannya cantik. Sangat. Tak sempurna tapi begitu jugalah diri Allie. Saya memikirkan cara-cara hendak melukis (semula). Tak pastilah hendak mula dari mana? Allie cakap, cubalah conteng note dalam fon. Baiklah. Saya akan mula catat mimpi berserta beberapa contoh visual. Saya akan lukis huruf dan contoh, dan saya mahu suruh Allie atau sesiapa tekanya. (Ilham cakap lukisan gajah saya macam kuda, macam elephant.)

--- 

Saya cuba baca Allie di masa lalu untuk fahaminya. Dan sekarang pun, Allie tetap Allie. Saya pernah membayangkan seorang kawan sepertinya yang berani mengucapkan hal-hal peribadi dan tidak mudah melupakan luka -- ya, Allie rajin mencatat diari sedari kecil. 

Apa pun yang berlaku, saya percaya, dirinya mengatasi segalanya. 

---

Saya hendak menulis bermacam prosa dan puisi, dan Allie akan lukis sesuatu tiap kali saya menyuruhnya baca. Ataupun sebaliknya. Allie akan melukis apa-apa yang dia mahu dan saya cuba menulis beberapa baris pesimis untuknya. Allie akan memuji: lukisan kau okey, kenapa taknak melukis? Saya hampir-hampir membalas soalan yang sama kepadanya, tapi saya tahu, sekarang bukan waktu terbaik untuk sesiapa menulis. Dunia sudah huru-hara. Setiap orang sedang sibuk selamatkan diri dan keluarga. Menulis merupakan jalan terakhir untuk tamatkan semuanya. Tapi sekarang, menulis mampu selamatkan saya. Saya cuma perlu catat apa-apa tanpa perlu memaknai apa-apa. Tiap hari, sesudah terjaga, saya akan catat mengenai mimpi semalam. Kadang-kadang ia aneh. Kadang-kadang ia buat saya bencikan tidur. Kadang-kadang saya tak sabar menunggu malam tiba. Sepuluh atau berapa puluh tahun nanti, saya takkan cuba faham pun kenapa saya buat apa yang saya buat. Allie pun tiba-tiba menegur: dah-dah la berangan tu oi makcik. 

Saya tergelak membayangkan Allie fasih berbahasa melayu. Kalau orang tanya, beritahulah mereka bahawa saya rajin dan sungguh-sungguh ajarnya sampaikan Allie jarang-jarang mahu menulis. Kononnya, kini, dia kecelaruan bahasa (tapi apa pun, saya berharap, Allie akan okey dan akan kembali menulis. Mungkin bukan sekarang, bila-bila nanti).





---
Medsos: @allie_brosh
Buku: 2013, 2020
Transkrip Temu-ramah: #1, #2, #3, #4, #5