Teruntuk I. I. [23]


Beberapa tahun ke depan, kau mungkin akan memaknai jalan-jalan baru, memimpikan bermacam cita-cita atau masih duduk mengemis di tempat sama. Tolak tahun ini, kau ada baki lagi tiga tahun sebelum kau benar-benar melangkah ke fasa tigapuluh. Isunya bukanlah pada umur, tetapi pada cara-cara kau menguruskan hidup. Hari ini kau berdoa, semoga cemasnya berkurangan -- lebih terbuka menerima yang lurus mahupun berliku. 

Kau pernah berjanji, kau takkan pergi lagi jauh, atas alasan, ia mustahil dilakukan setelah mama pergi. Mama berhenti setakat tigapuluhempat, dan kau tak yakini kau akan lepasinya. Kau masih ragu-ragu apa yang terjadi selepas mati, tetapi tak pula kau hendak sia-siakan hidup. Kau sedar, umur cumalah jarak. Umur tak membuktikan apa-apa rahsia pun melainkan ia sebagai cara kita berbasa-basi: sejauh manakah kita mampu berlari? Kau teringat, kau masih mahu mencuba untuk hidup seadanya bersama orang-orang tersayang. Kau masih mahu keluar dari rumah dan biarkan dunia memelukmu. Kau terfikir, kau pentingkan diri sekiranya kau menganggap hidup kau terlalu singkat -- kerana kematian juga milik semua hidupan. Duapuluh duaratus duajuta pun boleh terasa singkat, bukan? Seperti yang kau kerap ucapkan dulu: kita semua cumalah kumpulan cerita yang menyusun kematian. Kematian kita bakal dilagukan manusia lain melalui cerita-cerita yang pernah diingat. Tentang nama, zaman kanak-kanak dan hal-hal remeh. Mereka akan sampaikannya melalui tawa dan nangis. Tentang cinta dan luka. Kita bakal menjadi petikan perbualan orang lain. Kadangkala, kita menjadi anak, kakak, kawan, kekasih atau emak di dalam perbualan tersebut. Dulunya begini, dulunya begitu. 

Ironinya, kehidupan sesiapa pun tampak bernilai cuma setelah mati. Maka, apa yang kau hendak lakukan sekarang? Matikan cerita? Cepat atau lambat, sesiapa pun akan berhenti berfungsi. Kau tahu benar hakikat ini. Penyakit, bencana dan jarak cumalah nama awalnya. 

Kau juga pernah beritahu dulu, memori ibarat longgokan kotak di dalam sebuah bilik. Kau cuma perlu tahu bagaimana cara hendak susunkannya. Sesetengah kotak mungkin tak bertutup, tak bernama dan tak bersegiempat -- tugas kau sekadar duduk dan belajar asingkannya mengikut fungsi. Ada kotak yang kau tak boleh singkirkan, ada kotak yang kau boleh lepaskan. Untuk kotak jenis pertama, kau boleh pilih, kalau ia menguntungkan diri, susunkanlah di barisan hadapan, dari bawah hingga ke atas. Tempat kau mudah capainya. Ini bermakna, kau akan masuk ke dalam bilik dan cuma melihat hal-hal yang kau sukai. Kalau ia buat kau lemah, sorokkanlah kotak-kotak tersebut di bahagian belakang, jauh dari pandangan nyata. Untuk jenis kedua pula, kau berpendapat, ia kerja mudah. Kadang-kadang kau tak sedar pun kau hapuskannya dan tidak lagi tercari-cari. Kau juga mengeluh, kau perlukan sakit untuk kekal sembuh. Kau pun tergopoh-gopoh mencari semula luka. Kau tahu di mana kau letakkan setiap kotak. Mustahillah kau takkan berani capainya. Kemudiannya, kerja-kerja menyusun buat kau belajar erti bahagia. Kau penat, kau terluka, tetapi kau mahu belajar jinakkannya untuk berdamai dengan diri sendiri. Kau terimanya, kau tak perlu kosongkan ruang. Kau akan ambil apa-apa yang kau perlukan dan letakkannya semula ke tempat asal. 

Dan kau tahu, perjalanan untuk mencintai dan menerima diri tidak semudah yang orang lain ceritakan. Kau sudah terbiasa memberi, memberi dan memberi. Kau sudah belajar mencintai keluarga, kawan, kekasih dan sesiapa pun, dan kini, kau mahu belajar mencintai diri. 



---
Teruntuk diri, 
kau akan belajar mencintai diri berbanding melukai diri.