On a side note, saya pernah minat buku-buku Mitch Albom.
Sebelum belajar membaca, saya kerap tulis diari.
Bila orang tanya kenapa perlu menulis, saya akan akuinya, saya belajar menulis setelah membaca buku b. Inggeris. Macam orang lain juga, ia bermula dengan bacaan ringan. Chicken Soup for the Soul. Reader's Digest. Buku kanak-kanak. Roald Dahl. Arthur Conan Doyle. Sesudah bosan dengan rutin membaca, saya teruskan dengan novel maha tebal. Kalau ini buku-buku Ramli Awang Murshid atau Hlovate, sehari pun boleh kenyang. Tapi kawan-kawan saya juga minat J. K. Rowling, Stephenie Meyer, James Dashner, Suzanne Collins, dll. Saya pun cabar diri untuk habiskan satu buku sehari. Pinjam dari kawan. Pusat sumber. Baca apa saja asalkan buku b. Inggeris. Saya sungguh-sungguh membaca sebab hendak skor karangan.
Saya pun berhenti menulis diari. Saya mulakan blog pula. Tulis bermacam cerpen. Kadang-kadang saya menulis selain di blog. Tanpa nama. Saya mahu percaya, sesiapa pun boleh menulis jika mereka usahakannya.
Sepanjang membaca buku, malangnya, tiada siapa menulis macam Mitch Albom. Ah. Sepatutnya begini -- saya lebih sukakan seni penceritaan Mitch Albom. Beliau bukan sekadar menulis. Buku-buku beliau istimewa, meskipun tema yang berulang dan lewah, tetapi beliau pandai bercerita. Ya, sesiapa pun boleh menulis. Bezanya, tidak semua tahu bercerita. Buku pertama saya baca: For One More Day. Kemudian, Tuesdays With Morrie, Five People You Meet in Heaven, dll. Entah bagaimana, saya mahu mengabadikan diri kepada Tuesdays With Morrie. Saya sentiasa simpan satu buku di dalam beg, dan keluarkannya sewaktu menunggu bas, flight, dsb. Benda sama saya akan buat bila balik ke kampung. Akibat kerap berpindah-randah, buku-buku sudah pandai merajuk dan hilangkan diri.
Tuesdays With Morrie (1997) merupakan buku istimewa. Ia tentang menjemput kematian seperti sahabat lama. Morrie juga hampir berjaya yakinkan saya -- kematian tidaklah menyakitkan, ia menyembuhkan. Hanya kematian mampu bebaskan Morrie. Saya memandangnya tinggi. Namun, saya tetap cemburukan Morrie yang telah menemukan cara untuk berdamai dengan hakikat kematian. Padahal apa yang saya tahu tentang kematian, ia bengis dan penuh helah. Dan Morrie masih menang. Lebih mudah untuk kita terima kematian sekiranya kita ketahui tarikh akhirnya. Saya pun kemudiannya cuba tiru Mitch Albom. Saya cuba bayangkan apa pakcik Mitch akan tulis sekiranya dia mahu menulis mengenai nenek saya. Perenggan di bawah ini saya kutip dari salah satu kiriman (23.08.15) dalam blog ini. Saya catatnya setelah pulang dari bercuti di kampung, dan saya teringat kepada Morrie yang tiba-tiba berhenti menari:
"...but she was outside preparing her tools. Then she disappeared into the mist of early morning. It was her routine, until one day, she stopped. She fell as pain suddenly conquered her. She began to see doctors more than I could visit her myself.”
Walaupun tangan nenek sakit, beliau masih mahu ke kebun getah. Lebih kurang begitulah ceritanya. Saya tak anggap penceritaan saya baik. Kalau baca semula pun, saya sentiasa mahu perbaikinya. Saya mahu sembunyikannya. Saya sentiasa mahu mengulang catat. Tapi saya tahu, saya faham. Ia tidak pernahkan sempurna. Sentiasa akan ada versi berlainan. Samada saya tulisnya ketika 15 / 18 / 20 ataupun sekarang. Dan ini segera melegakan.
Hari ini, saya membayangkan perkara-perkara yang saya akan tulis sekiranya Mitch Albom sudah tiada. Saya akan ingat, pakcik Mitch ajarkan saya menulis cerita-cerita yang sepatutnya disimpan kemas dalam memori. Beliau ajar saya mengumpul cerita. Beliau ajar saya mengucapkan cinta. Beliau ajar saya membaca untuk menulis. Ataupun, kita boleh anggap ini eulogi kepada diri sendiri yang pernah sungguh-sungguh membaca dan menulis.
Kini, tidak lagi.
Saya cuma budak 15 tahun sewaktu saya membaca buku-buku beliau. Kalau saya ulang bacanya sekarang, saya tahu, saya akan akui, kita tidak ada jawapan tepat untuk memaknai hidup. Kita cuma perlu belajar meniru, meniru dan meniru -- sampailah kita sendiri mampu memaknainya dengan cara kita sendiri.
