Jika saya mahu larikan diri, ke manakah saya akan pergi? [15]


Suatu pagi saya terjaga, dan dunia ini bebas manusia. 

Saya mungkin tertanya-tanya sekarang ini jam berapakah, di manakah kekasih dan anak-anak kecil, kenapa jiran-jiran tidak bekerja. Keheningan di luar seakan-akan memaksa saya mewujudkan diri. Apa bezanya hari ini dan semalam? Terpaksalah saya gadaikan jendela untuk sebuah pintu keluar masuk. Untuk pertama kalinya, setelah lima tahun, saya beranikan diri berjalan di sekitar kejiranan. Anak tangga dilonggoki serbasalah. Longkang disumbat hal-hal silam. Kedai runcit masih sama -- telur gred C sebiji limaposen. Hari ini telan liur lagi kah? 

Sebuah kereta sedan muncul, bertapak betul-betul di tengah jalan. Tak perlu curi-curi toleh. Saya kenal pemiliknya. Kami pernah berbual mengenai pokok-pokok di tepi parkir yang sudah ditebang pekerja. Tiap malam dia berdoa: tuhan, ambillah tangan mereka, tanamkan, suburkan. Benarkah tuhan mahu mendengar atau maha mendengar? Saya teringatkan lesen memandu di rumah -- tak mengapalah. Dunia sedang tidur. Saya akan terus berjalan, berjalan dan berjalan. Sesudah sepuluh ribu langkah membelah bandaraya, saya berehat di kaki pokok Hujan, membayangkan awan berbentuk emak. Ada hikmah, nasihat, serta doa. Bebayang daun pula menari-nari di atas muka ini. Angin masih ada, dunia masih berputar. Saya cuba meneka bentuk-bentuk seterusnya hingga terlelap. Ia merupakan tidur yang panjang tanpa memimpikan apa-apa. Petangnya, saya lekas-lekas pulang ke rumah. 

Ah, rumah masih ada, dunia masih berputar. Di sini cuma ada saya, mimpi dan kenangan. Saya mahu memimpikan kenangan, atau kenangkan mimpi. Yang indah, duka, dan apa-apa saja -- mereka semua bertukar-ganti menghiburkan saya.