Hal-hal bahagia [9]


Ia seremeh duduk tenang di rumah, tengok laut, makan, bercerita dan hidup seadanya. Rumah tidak istimewa. Rumah cuma jadi salah satu cara lain untuk kita cerminkan identiti, seperti bahasa, budaya, jantina, dsb. Kita sentiasa cari cara. Kita sentiasa mahu lekas-lekas pulang ke rumah, telanjangkan diri dan sembunyikan diri. Kita juga kerap mengubah cara. Kita perlu keluar dari rumah, bebaskan diri dan lukakan diri. Sekarang ini, apa yang kita tahu mengenai bahagia -- ia tidak pernah linear.

Laut pula buat kita berfikir, putaran bumi siapkan kerja-kerja tuhan. Ia mudahkan kerja-kerja tuhan. Tidak cuma bumi, apa-apa yang bergerak dan wujud di alam semesta pun sudah hidup bermasyarakat lebih lama dari kita. Tanpanya, mustahil kita masih di sini. Mustahil yang di atas masih di atas, yang di bawah masih di bawah. Yang di tengah masih di tengah. Begitu jugalah kita. Roda hidup kita berputar meskipun perlahan. Ke depan, belakang, atas dan bawah. Seperti laut, ombak berangin buat kita tampak bergelora. Kononnya angin sengaja membocorkan duka. Tapi di sebalik permukaannya, kita sentiasa menidakkan lemas dan mahu bertenang. Kita juga merupakan pulau atau daratan kecil, dan laut menjadi tempat kita keluar bermain sesudah kita belajar berenang. Bot-bot kecil gigih ditambat, disusun dan dimandikan -- padahal laut rumahnya. Bezanya kita dengan laut atau pulau atau daratan atau sekalian alam, kehidupan kita ini tidak terikat kepada satu hal saja. 

Kita berubah arah. Kita gilakan atau bencikan nomad. Kita teringat -- kita tidak abadi pun. Kita akan pergi atau ditinggalkan. Tapi tak perlu pun kita tangisinya selalu. Kita terimanya, perbaikinya dan lunaskan mana-mana hal mengikut kemampuan. 

Makan pula jadi rutin yang berulang tetapi memuaskan, terutamanya bersama kekasih dan orang tersayang. Dapur kecil buat kita lupa tentang ruang peribadi. Kita sebenarnya cuma dua orang dewasa yang masih mahu belajar dan mahu mengajar. Belajar sediakan lauk-pauk, makan, kemudian kemas dan basuhnya. Ajarkan anak makan nasi dan ayam, kemudian letakkanlah piring di sinki dan cucilah tanganmulut. Bila dah bosan di dapur, kita pun keluar dan nikmati makanan segera. "Hidup semudah itu?" Tiap kali sudahi makan pula, kita akan tonton rancangan tivi. Tapi cari tajuk cerita dah jadi kerja berat sekarang ini, lagi berat dari kerja-kerja memasak. Netflix dah makin tak relevan. Youtube buat kita leka. Lebih baik buka medsos dan forum berbanding tunggu berita pukul 8. 

Kita pun akhirnya lebih banyak bercerita dan mengutuk hal-hal duniawi, sebab ia pemudah cara kita kenali diri. Kita pun bercerita, bercerita dan terus bercerita. Lebih kerap mengucapkan saya / dulu / sebab / tolong / nanti kita / esok / terima kasih. Dan setiap hari, kita dah berani londehkan kekurangan diri tanpa perlu rendahkan diri. Kita masih mampu bersama tanpa perlu bicara. 


---
Bahagia merupakan cara kita mampu hidup seadanya. Mungkin bukan untuk selamanya, tapi cukup sekadar tengok orang terdekat dan akui saja: kadangkala, berkongsi tidak semestinya melemahkan.