Hal-hal yang senangkan hati [2]
Sebenarnya... banyak. Saya suka tengok budak-budak bermain dan berkawan. Ia mengingatkan saya kepada diri saya berpuluh tahun lalu. Yang cuma tahu bermain, bermain dan bermain. Sekarang pula, saya pilih untuk duduk dan membaca. Baca fiksyen. Baca non-fiksyen. Catat fikiran dan perasaan. Bebas dari writer's block. Kumpul meme dari Internet dan sebarkan. Bila sesiapa mengadu hal apa-apa, saya iyakan dan ikut terhibur. Bercerita. Curhat. Selesaikan masalah. Berbual dengan kekasih, kemudian dia duluan tertidur. Sanggul rambut. Cabut uban. Pakai baju atau seluar kesukaan. Senang hati bila jemuran kering. Katakanlah saya jemur pukul 10 pagi, pukul 3 petang nanti dah boleh angkat kain. Keluar dari rumah, tapi tak ada tujuan. Pergi ke taman. Berjalan. Berpeluh. Tengok orang main futsal, berbasikal atau bersukan. Tengok laut. Tengok orang memancing. Rakam laut dan langit. Rakam orang tersayang. Terima gambar dari adik pun buat saya hepi. Tanpa manusia atau bangunan -- sekadar laut atau langit atau matari terbenam. Kebanyakan perbualan kami diakhiri dengan hahaha hihihi, kadang-kadang tanpa ucap apa-apa. Tapi ia tak kekok. Hubungan saya dengan makanan juga tak rumit. Sekiranya perlu ke kedai makan, saya teruja jadi orang terawal pesan makanan. Makan mi kolok. Masak ayam kicap. Hirup sup sementara panas -- nikmat. Masuk musim tengkujuh, keadaan lembap dan sejuk buat saya jadi malas. Saya sekadar hendak berehat tengok tivi. Dengar lagu. Tidur awal, bangun awal. Tidur lena tanpa nyamuk. Tapi nyamuk bijak bersembunyi dan tinggal di sebalik pintu-pintu rahsia.
---
Senarainya panjang lagi, tapi tak mengapa. Ini pun cukup. Nanti, bila perlukannya, mungkin, saya akan carinya semula.
