perempuan, mancis dan sebotol minuman keras.


Mak pun malu dengan diri sendiri sebab Mak bukan ibu yang terbaik, yang boleh ajar kamu untuk bangkit dan pertahankan diri kamu. demi Tuhan, untuk hadapi semua ini. macam apa yang ibu Mak ajar dulu.

setelah ayah Mak ditangkap, ibu Mak carikan pondok kosong untuk berlindung, untuk lahirkan Mak. tanpa bantuan sesiapa pun. dia sembunyikan Mak di bawah lantai masa dia keluar pergi curi makanan -- supaya dia ada susu untuk bagi Mak hidup. cukup-cukup untuk hidup saja, bukan untuk menangis, atau kami kena tangkap.

akhirnya dia pergi jumpa doktor dan doktor suruh dia lepaskan Mak. tapi bila ibu Mak nekad, doktor itu angkat Mak, macam pegang kaki ayam, dan dia cakap: “kalau bayi ini dapat angkat kepalanya, maksudnya ada peluang.”

kamu tahu apa Mak buat, Martha? Mak angkat kepala Mak. itulah apa yang Mak nak kamu buat sekarang. bangkit dan pertahankan diri sendiri.

kamu kena buat, Martha, sampaikan hal sebenar. kalau tak, kamu takkan boleh teruskan hidup. (tapi) kamu kena teruskan juga.

Elizabeth, Pieces of a Woman.

satu-satunya orang yang pernah menyayangimu cumalah si Kecil itu, yang tak bersalah itu, dan kamu fikir, mungkin… mungkin dia akan hentikan sebarang kesakitan. dan iya, iya, walaupun untuk sekejap saja.

Libby, The Alienist.

saya memikirkan semua perkara yang telah ditulis mengenai saya -- bahawa saya ini wanita iblis tak berperikemanusiaan; sayalah mangsa yang dikawal kuasa jahat, tanpa kemahuan sendiri, dan hidup pula dalam bahaya; saya tak tahu bertindak dan menggantung saya merupakan keputusan yang adil; saya sukakan haiwan; saya cantik berkulit cerah; bermata biru, juga hijau; berambut perang kemerah-merahan atau perang semata-mata; saya tinggi, dan tidak melebihi tinggi kebiasaan orang.

saya berpakaian bagus dan sopan; kononnya saya merompak seorang perempuan untuk kelihatan sedemikian; saya lincah dan cerdas sewaktu bekerja; kuat merajuk dan panas baran; berpenampilan baik berbanding merendah diri; saya perempuan baik yang mudah dilentur dan tidak dikatakan berbahaya; saya licik dan penipu; saya gila dan sedikit bagus daripada orang bodoh.

dan saya tertanya-tanya, bolehkah saya menjadi semua perkara yang berbeza ini sekaligus?

saya jadi tahanan di Kingston Penitentiary selama limabelas tahun. saya disabit membunuh ketika masih muda, walaupun masa itu saya dah anggap diri saya ini sebagai perempuan dewasa. setiap hari saya dibawa ke rumah gabenor. mereka cakap saya di sana untuk buat kerja-kerja rumah yang ringan walaupun kebanyakan masanya saya di sana sebagai objek tumpuan. mereka menatap tanpa memaksudkan sedemikian, doktor, dari bawah topi mereka. mereka nak jumpa saya sebab nak tahu adakah saya seorang pembunuh yang terkenal. atau itulah yang telah ditulis.

sewaktu kali pertama mengetahuinya, saya terkejut sebab mereka katakan penyanyi terkenal, penyair terkenal, dan pelakon terkenal.

tapi apalah yang boleh dirai mengenai pembunuhan? semuanya sama saja. gelaran pembunuh terlalu besar untuk diri ini. ia mempunyai bau, busuk dan menindas, semacam bunga mati di dalam pasu. kadang waktu malam, saya berbisik kepada diri sendiri. pembunuh. pembunuh. ia bergemerisik seperti kain tafetta di lantai. pembunuh sememangnya kejam, macam tukul atau gumpalan besi. saya lebih suka jadi perempuan jahat berbanding jadi pembunuh, jika itulah satu-satunya pilihan yang ada.

Grace, Alias Grace.

ayah saya ada dua sisi. satu, penyayang. dua, kejam. kedua-keduanya sering wujud bersama. ia merupakan hal remeh-temeh seperti meletakkan saya di tempat tidur, seingat saya, juga permainan tarik tali. kami seronok ketawa bersama.

saya tak ingat waktu itu kalau-kalau dia mabuk ataupun saya dah katakan sesuatu yang menyinggung perasaannya. yang pasti, dia tarik lengan saya ke belakang. ayah simpan banyak rahsia. rasanya sebab itulah saya jadi terlalu ingin tahu. dan sewaktu kecil, saya tak sedar pun keadaan melankolia ayah. ia jadi keterlaluan bila dia cuba bunuh diri. sayalah yang menjumpainya. di saat-saat akhir itu, dia hilang keberanian dan cuba menarik picu keluar dari mulut. kesakitannya teruk. separuh wajahnya... dia ambil tangan saya dan kami pun pegang pistol bersama.

maaf. saya belajar dari kamu, kita boleh saja biarkan ia menghantui kita seumur hidup, atau kita boleh terimanya dan bebaskan memori yang sakit itu untuk tolong orang lain pula. saya tak pasti pilihan sepenuhnya berada di tangan kita. saya tak setuju. kalau tak, kita semua akan jadi pembunuh.

Sara, The Alienist.

Mak beli rumah di Jalan Peach itu masa mengandungkan kamu. Mak bangga sangat. ia biasa-biasa saja tapi ia dah jadi milik Mak. letak buaian di beranda dan berkebun kecil di depan. dulu Mak pernah buat hal di dapur lama itu, tahu tak, kena nyala guna mancis panjang?

musim sejuk itu, pakcik Clyde kamu singgah. dia perlu tempat tinggal sampailah dia dapat duit yang cukup. tak bolehlah nak tolak keluarga, kan.

suatu hari, Mak terjaga waktu malam. tak pastilah kenapa, Mak tiba-tiba terjaga. Mak lalu koridor nak jenguk kamu... pakcik kamu pula keluar dari bilik kamu. Mak tahulah apa dia dah buat. dia seorang lelaki yang besar. sukakan minuman keras. dia habiskan tiga kotak rokok sehari. selalu busukkan rumah dengan asap rokok. sepanjang hari pula, dia akan tidur saja di sofa dengan api rokok masih di mulut. Mak selalu alihkan rokok itu.

suatu malam, tak lama selepas itu, Mak kejutkan kamu dan yang lain dari tidur, dan hantarkan kamu semua bermalam di rumah makcik Mabel. malam itu juga, rumah yang paling Mak cintai itu terbakar. dan pakcik Clyde kamu terbakar bersamanya.

Mak tahu, sayang, kamu seksa diri dengan apa yang dah terjadi. Mak tak tahu kalau-kalau kamu dah buat sesuatu yang buruk. tapi apa yang Mak tahu, kalau kamu buat sesuatu pun, kamu ada sebab sendiri. kadang, kamu kena buat apa yang perlu, meskipun apa yang kamu ada cumalah sebatang mancis panjang dan sebotol minuman keras yang mudah terbakar.

Ophelia, How to Get Away With Murder.