tetamu februari


ini kiriman patah hati yang tak bertemu titik akhir. kerongkong ini mengeras, macam kena paksa telan ubat mahapahit. saya tak rasa pun ada ubat untuk merawat penyakit lupa diri atau penyakit benci pada diri. perkataan benci pula semacam lewah untuk orang yang masih belajar bercerita, padahal saya cuma tahu mengeluh panjang. perkara sebegitu sudah kerap saya ulang catat di sini seolah-olah saya dah tak jumpa jalan pulang. mungkin saya sudah berhenti belajar atau mencari, sudah selesa berdikari. tak pasti hendak mula dari mana.

hari ini saya bermimpi buruk (lagi) mengenai ruang peribadi ini, di sini. saya berniat mau kunci blog, lying low dan tinggalkan media sosial (lagi).

memanglah saya boleh bercerita tentang apa saja -- tak kira masa dan tempat -- termasuk hal remeh-temeh yang saya pendam, kemudian padam. andai saja hidup ini semudah telan dan tinja, bolehlah saya belajar untuk jatuh dan patuh pada luka yang menyinggah lalu melanggar hikmah. tinggal petik buah nasihat, bangun dan jalani kehidupan serba huru-hara. bagi sesetengah orang, bercerita cuma buang masa. kita hidup ini terikat pada leher masa bersadur emas: saudagar janji kian kaya, anak muda melonggok hutang, banjir naik separas bukit, air ketuban memecah kelahiran, kapal dan bot kecil karam tak berpenghuni, dan orang mati mustahil kembali.

orang akan anggap bercerita tak mampu ubah takdir. tulis seratus lebar masalah pun, belum tentu orang mau baca, hadam dan sokong. dan kalau betul pun orang mau tolong, ramai lagi orang yang layak diselamatkan berbanding kisah patah hatinya yang hidup segan mati tak mau.

saya tak rasa itu bodoh atau istimewa.

saya cuma tahu, dalam dunia nan bosan ini, saya sendiri pun masih berlatih untuk berkongsi hidup. jadi, saya akur jikalau orang lain bersetuju untuk pendam dan padam. walaupun ada masanya saya teruja mau baca dan sempat juga saya paksa mereka untuk mula menulis (bercerita) -- kisah patah hati mereka ndak semacam cerita yang pernah saya kongsikan di sini -- tapi begitulah kan, tak semua orang tahu hendak mula dari mana.

dan tak semua orang mau bercerita, mereka lebih suka membaca. kadang mereka tak ambil pusing pun, katanya, hidup bukan sekadar mengeluh panjang.

ya, tanpa sokongan pembaca terutamanya M, walaupun dah berulang kali saya catat bahawa saya menulis untuk diri sendiri dan sayalah orang gila yang mau siram luka lama, mustahil saya berjaya habiskan satu atau dua hari seminggu di sini saja. banyak perkara penting dalam hidup ini yang patut saya banggakan, perkara kecil dan tak penting tapi saya berjaya lunaskan sepanjang beberapa tahun ini -- padam media sosial, perbaiki pola tidur dan kejar cita-cita -- tapi saya pilih untuk menulis (lagi). jujur, saya tak kesal pun. saya memang mau belajar bercerita meski tak banyak cerita yang mudah dihafal.

bercerita bagi saya bukan macam hidang nasi; ia tak boleh bagi orang kenyang pun. bukan tempat kita melombong emas, bukan juga jalan pintas pulang ke rumah.

ada hari di mana saya mudah bercerita dari siang ke malam, tidak kisah pun berkongsi ruang dan rasa. ada juga hari di mana saya menutup ruang pesanan dek teringat tujuan menulis cumalah untuk kepuasan kendiri. perlu berlaku adil, membiarkan mereka terus menekan loceng dan tunggu di hadapan pintu. namun, kebiasaan harinya saya cuma mampu tercengang sewaktu membacanya semula, kemudian ketawa: “ini bukan kerja seorang saya."

macam biasalah, saya tiada jawapan untuk setiap pertanyaan. saya sudah lama berhenti mencari alasan munasabah mengenai kemaharajalelaan saya di sini. mungkin ini cuma hari-hari di mana saya dah muak bersangka baik sedangkan saya hidup ini sekadar mengemis kasih pada yang sudi.

tabahlah, tetamu februari.

sepatutnya saya pendam dan padam, bukan merungut. saya mungkin akan membenci diri setelah mengirim tulisan sampah seperti ini (lagi), sama macam timbunan drafts lain, sebab akhirnya saya tetap gagal menulis dengan baik. pun begitu, saya lebih rela mengeluh panjang asalkan saya boleh terus bercerita. I’ll find it or end it, eventually. mungkin.