percaan dewasa
(i) tahun ini, tidak seperti tahun-tahun lainnya, saya cuba untuk berkawan semula dengan buku. saya dah lama tak capai buku. kalau kawan cadangkan bacaan digital pun, saya jarang-jarang mahu menghadap skrin sebab skrin cuma peningkan kepala. saya tak nafikan membaca memang privilege untuk golongan tertentu -- lain orang, lainlah kemampuan atau pemahamannya terhadap konsep membaca -- tapi saya tidaklah membenci buku.
yang kurang cumalah usaha.
saya sering tertanya-tanya kenapa bacaan sering berakhir di hujung muka surat. kepada siapakah ia bertukar tangan kemudiannya? bukankah saya sepatutnya berani bicarakan apa yang saya sukai dan apa yang saya tidak sukai? tidakkah semua orang buat hal yang sama? mungkinlah saya tak rasa hendak berkongsi sebab saya baca sekadar baca. maka, hari demi hari, bacaan berkurangan tanpa saya sedarinya. saya pun mula cari escapism di tempat lain. dan akhirnya, brain fog. menulis, tetapi kosong. untuk bacaan siapa? kalau sesiapa pernah mengikut rapat, sesiapa sudah tentulah hafal benar bahawa saya kerap mengeluh. bezanya sekarang, sesiapa dah bijak memilih apa yang hendak dibaca.
atas alasan apa pun yang ada di balik batu, saya masih mahu cuba membaca untuk saya terus bercerita. harapnya, nanti, saya boleh berdikari. saya boleh teruskan apa-apa tanpa mengharapkan apa-apa. saya mahu menjadi manusia yang kool, tidak terburu-buru melakukan apa-apa tidak kiralah sekecil atau sebesar mana pun desakannya. kata orang, one step at a time.
(ii) apakala orang tua ringkas mengusik -- kau masih muda, masih banyak lagi butiran garam belum dicemar -- pengalaman diri sebenarnya lebih puas ditanggung bersama oang-orang tersayang. dalam kesempatan inilah kita bersemangat teguh, beratur di celahan rahmat dan malang untuk perbaiki diri. mungkin ada cacat-cela tak semacam yang dihajati, tetapi memadailah ia sebagai panduan dan kenangan di hari tua kelak.
(iii) dan begitulah lahirnya manusia yang cintakan syukur. pabila didatangi sebuah pengajaran, kita sedar dan kita patuhi hikmah yang ada di sebaliknya. hidup bukanlah pertandingan lumba lari, bukan juga untuk menunjuk-nunjuk timbunan garam siapakah yang menggunung tinggi. ianya mengenai keberadaan hikmah tersebut.
kadang kita jatuh, kadang kita bangun. adakah kita (saya) dah faham pengalaman lalu? gagalkah fahaman kita (saya), berjayakah kita (saya)? jika kita (saya) bersabar, kita (saya) 'kan berfikir. kita (saya) boleh pilih sama ada kita (saya) mahu menyisih silap atau gandakan hikmah, lalu akur melagukan syukur. tidak adil untuk kita (saya) menyangka bahawa sesuatu terjadi sebagai hukuman, bahkan diadakan ruang dan masa, untuk terus mendewasa. bukankah kita semua bercita-cita hendak menyapa Sang Kedewasaan? hendak menjadi golongan yang tahu bersyukur?
(iv) kepada orang yang hatinya saya pernah ikut berjuang sebelum ini, dan hati-hati yang saya pernah lukai: saya pohon maaf di atas kelambatan diri menjadi dewasa. semoga kau sentiasa bersama hati-hati yang sedia setia menghargai perjuanganmu.
(v) untuk hati-hati yang pernah singgah sebentar, teruslah berusaha untuk menulis dan membaca walaupun bukan di sini, sebab dunia tidak pernah rehat -- dan ia akan senantiasa kelam-kabut.