rahsia-rahsia kelimabelas


saya tak sedarinya, tapi pemergian mama sudah sekejap ini. kalau orang tanya pun, saya akan sekadar jawab sudah lama. tak perlu pening-peningkan kepala menghitung hari atau bulan atau tahun.

dan saya lebih selesa memujuk diri. orang lain pun ada pengalaman pahit masing-masing. anak muda bekerja demi sesuap nasi. suami-isteri menanti zuriat. para perajurit pergi tak kembali. ada orang susah sebab pelajaran, ada orang susah sebab kewangan. ada juga susah meski pangkatnya besar. dan bercakap tentang kesusahan atau kecelakaan atau apa-apa musibah tak bermaksud saya mahu membanding-bandingkan diri. tiap-tiap orang jalani kehidupan yang baginya sukar tak terjangkau alasannya. berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. begitu jualah kesedihan orang-orang yang menjadi yatim, piatu atau kedua-duanya. resmi hidup, mati itu pasti. tak pernah pula saya berniat untuk salahkan takdir. apalah jua daya saya yang ketika itu belum mampu mengenal tuhan.

jujur, tak banyak yang saya ingat. tak banyak juga yang saya faham. amat sulit untuk dilukis apa yang saya rasa sewaktu melihat mama jatuh sakit, koma, kemudian pergi. tiada jawapan juga untuk adik bongsu setelah dia tanyakan kepada saya pada malam kenduri, mana mama, mana mana, yang esok-esoknya tidak lagi tercari-cari. dan kawan baik saya pula mengeluh dalam karangannya, dia menjadi pendiam setelah itu. kehilangan orang tua semuda itu tak adalah sakit mana.

sakitnya adalah mengenangkan details of her that none of it you could (vividly) remember. begitulah sakit yang tiada calang ubatnya.

sehingga kini, saya masih lagi tercari-cari ruang untuk bercerita tentang mama. perkara istimewa mengenainya biarpun remeh -- makanan kegemaran, kerjaya, hobi -- yang tak pernah sekali pun saya tiba-tiba bercerita di depan kawan, apalagi keluarga, demi menjaga air muka. sebab tak semua orang suka sentuh perihal orang yang sudah tiada, seolah-olah membuka aib si mati. tak ada manfaatnya tangisi masa lampau yang cuma mencabik harapan. cukup dengan doa saja kita menjadi tetamu, pesan mereka.

itulah persamaannya barangkali, antara yang hidup dan mati -- kita sudah lancar menghafal hal-hal yang sudah lapuk.

bercakap mengenai kematian bukanlah sekadar untuk meratapi. bagi saya, kematian atau pemergian seseorang tak semestinya menjadi suatu proses yang berat untuk orang-orang yang masih mentah pengetahuannya akan hakikat kehidupan. kita semua pernah jadi anak kecil. kita pernah membesar jadi manusia yang senang hati, tak pernah puas bermain di sekitar kejiranan. pulang rumah pun sebaik hari senja. kali terakhir saya dengar suara mama dulu sewaktu di hospital, sehari sebelum mama koma seminggu. saya tak rasa apa-apa. tak fikir apa-apa. usai waktu melawat, saya dan adik-adik bermain di taman. kawan saya juga ada waktu itu. kakak tak ikut main. dia cuma tahu menangis dan menangis dan menangis. sama jugalah nasib saya yang cuma mengikut-ngikut orang menangis ketika peluk tubuh dingin mama.

pemergian mama buat kami lebih banyak diam, marah dan keliru. kami lebih suka berpura-pura seolah-olah tak ada apa-apa berlaku meskipun hidup tetap banyak celakanya dari tahun ke tahun.

darah tinggi abah semakin serius. banyak benda yang abah dah gadaikan untuk kami tetap bersekolah. pernah dulu saya tanyakan kepada sepupu, sambil kami baring-baring menghadap siling, "entah-entah mama ndak mati? entah-entah mama balik nanti?" kami sedang seronok-seronok bermain di bilik sewaktu orang lain sedang sibuk-sibuk berkenduri tahlil. kemudian dia cakap, "ada betulnya tu. jom kita doa supaya dia lekas-lekas balik." saya cumalah anak kecil. kalau lapar cari makan, kalau mengantuk cari bantal. bersungguh-sungguh jugalah saya berdoa. lepas tamat kenduri, dah malam sikit, saya keluar dari bilik dan tengok orang sekeliling. orang-orang dewasa dah berbual rancak. tersenyum. hidup mesti diteruskan, bukan?

kenapa mama tidak tinggal kejap lagi? kenapa pergi terlalu cepat?

inilah pertanyaan-pertanyaan yang terbit dari hati setelah kini saya dah jadi seorang mak. macam orang lain juga, saya mau belajar -- belajar kenyangkan keluarga, belajar hal-hal keperempuanan, belajar mengungkapkan cinta, kepada keluarga, kepada orang tersayang -- semuanya dari mama tidak kiralah mana satu yang datang dulu. dan saya bersyukur saja apa adanya. saya akan belajar mencintai dan dicintai, meskipun dengan cara yang saya tahu cuma.

sepanjang lima belas tahun mendoakan mama, mungkinlah saya faham. saya faham. terima kasih ma. saya mungkin dah temukan ubatnya. saya mungkin akan mampu merawat diri. beginilah perasaan saya sejak sekian lama, mengetahui keupayaan saya (kami) membentuk keluarga kecil ini.

ya... saya tidak lagi sendiri-sendiri.