apa-apa yang kita ceritakan sudah jadi semacam lagu yang kita ulang nyanyikan.


mudik ke hulu sungai ibarat menyusur semula ke titik-titik terawal di dunia.

tumbuh-tumbuhan bebas meliar dan pokok-pokok besar jadi raja. arus yang lengang, keadaan yang sunyi sepi dan hutan yang mustahil untuk ditembusi. udaranya panas, sesak, sarat dan juga lembap. dan tak ada hal yang membahagiakan pun sewaktu matahari memancarkan sinar. hamparan air memanjang, meskipun terasing, menuju ke jurang-jurang ditenggelami suram. di tebing-tebing pasir keperakan, badak air dan buaya sama-sama berjemur.

perairan yang meluas mengelilingi pulau-pulau berhutan -- kau tersesat di situ sebagaimana kau tersesat di padang pasir. berhempas-pulas sepanjang hari menongkah beting dan cuba mencari jalan keluar, sehinggalah kau terfikir kau ini dipukau dan selamanya terputus dari segala hal yang kau pernah tahu, jauh entah di mana, mungkin di suatu kewujudan lainnya.

kebiasannya hal-hal silam boleh saja tiba-tiba kembali menjadi satu, kadangkala, pada hari kau tak sempat luangkan masa untuk diri sendiri pun. tetapi ia akan hadir berbentuk mimpi yang huru-hara dan hingar-bingar, bersama kegilaan dan kebenaran mengenai tumbuhan, air dan kesunyian di dunia yang aneh ini.

dan ketenangan hidup ini sedikit pun tidak menyerupai kedamaian. ianya cumalah kuasa yang tak dapat diganggu-gugat, melangkaui niat yang sukar dibaca dan ia memandang kau dengan cara penuh dendam.

Joseph Conrad, Heart of Darkness.


apa-apa yang kita ceritakan sudah jadi semacam lagu yang kita ulang nyanyikan. nanti kita besar. nanti kita pulang. nanti kita. nanti kita. nanti kita.

Jacqueline Woodson, Another Brooklyn.


pokok melambangkan suri teladan paling unggul. saya kagum akan pokok yang membesar bersama spesies dan keluarganya, sama ada di hutan mahupun di dusun. dan saya jadi lagi kagum bila ia mampu hidup sendiri-sendiri. pokok juga semacam orang sunyi. bukan seperti para pertapa tetapi seperti lelaki hebat yang mampu sendiri-sendiri -- macam Beethoven dan Nietzsche.

di dahannya yang tertinggi, dunia berdesir. akarnya pula diam tak berpenghujung. namun pokok tak berhenti setakat itu saja. pokok berjuang dengan seluruh kekuatan yang ia ada untuk satu perkara: untuk sempurnakan diri sesuai hukum-hakam, untuk dewasakan diri sesuai bentuk dan untuk menjadi diri sendiri.

tiada yang lebih suci dan setara berbanding pokok; indahnya ia, kuatnya ia. bila pokok ditebang dan luka dalamnya terdedah, kita boleh menilai sejarah hidupnya melalui lingkaran cincin yang terukir pada batangnya; jumlah cincin tahunannya, parutnya, perjuangannya, deritanya, sakitnya, kebahagiaan dan kejayaannya sungguh-sungguh tertulis, tahun-tahun sempit mahupun tenang, serangan yang ditempuhi serta badai yang diharungi. setiap peladang muda tahu bahawa kayu yang terbaik mempunyai ruang cincin paling sempit.

terletak tinggi di atas gunung dan kerap ditimpa bahaya, di situlah pokok-pokok ideal -- yang kebal dan teguh -- pun tumbuh.

pokok merupakan tempat perlindungan. sesiapa yang tahu berbicara dengannya dan tekun mendengarnya akan temui kebenaran. pokok tidak menyeru kepada mana-mana ajaran atau perintah. ia mengajar kita mengenai aturan hidup sedari zaman purbakala dan tak goyah pun digoncang hal-hal rinci. kata pokok: ada suatu perca tersembunyi dalam diri ini, suatu cetusan dan fikiran, bahawa saya berasal dari suatu kehidupan yang abadi. segala usaha dan susah-payah ibu induk telah menjadikan saya istimewa. kesitimewaan itu menyempurnakan bentuk, urat-urat, daun-daun terkecil di dahan dan juga parut halus pada kulit. saya sememangnya dicipta untuk membentuk dan mempamerkan sisi abadi melalui hal-hal rinci begini.

kata pokok lagi: saya amanah dan itulah kekuatan saya. saya tak kenal siapa bapa. saya tak kenal pun ribuan anak pokok yang saya biakkan. saya sekadar lengkapkan pembenihan sehingga selesai dan tak ambil pusing pun hal-hal lain. saya yakini bahawa tuhan bersama saya. saya yakini bahawa proses pembiakan ini tugas mulia. dan amanah ini jugalah yang menghidupkan saya.

Herman Hesse, Bäume: Betrachtungen und Gedichte.


apa pula hujan malam di pekan kecil akan katakan? apa yang hujan mampu katakan? siapa pula berjalan di bawah dahan sayu nan basah itu yang mahu mendengarkan hujan? siapa orangnya, dihujani jutaan jarum-jarum kabur, mahu mendengar lagu kematian yang suram dan lunak -- sewaktu hujan malam di bulan September? siapa di sana yang mendengar deru hujan seirama, sambil merenung, mendengar dan menunggu -- pada malam dibasuhi hujan, pada malam disinari hujan?

Jack Kerouac, The Town and the City.


malam itu dia bermimpi mengenai kuda di sebuah dataran padang nan tinggi.

hujan di musim bunga telah menyuburkan rumput dan bunga liar, dan bunga-bunga itu tumbuh menjadi kuning dan biru sejauh mata memandang. dalam mimpinya, dia bersama kuda-kuda yang berlari. dalam mimpinya juga, dia dapat berlari bersama kuda-kuda itu dan mereka melintasi anak-anak kuda, baik jantan mahupun betina, sambil badan mereka yang perang dan merah itu berkilau-kilau disimbahi cahaya matahari.

anak-anak keldai jantan pula berlari bersama ibu mereka dan menginjak-injak bunga menjadi jerebu debunga yang bertaburan seperti serbuk-serbuk keemasan. kemudian mereka semua berlari bersama kuda-kuda itu di sepanjang tanah mesa. tanah bergema di bawah telapuk mereka yang masih berlari. mereka terus mara, berubah-ubah dan berlari hinggakan surai dan ekor mereka berterbangan seakan bebuih. hal-hal lain tak wujud pun di tempat tinggi itu. mereka semua bergerak seiring gema berumpamakan muzik. dan tiada satu pun daripada mereka takutkan kuda, anak keldai mahupun kuda betina. mereka berlari menuju gema -- menuju ke sebuah dunia yang tak terucapkan, sekadar boleh dipuja-puji.

Cormac McCarthy, All the Pretty Horses.