ya, ini petanda hidup saya baik-baik saja.

saya dah lama bercadang mau kosongkan wordpress, akhirnya, saya berjaya juga bebaskan diri walaupun tinggal satu kiriman lagi belum dipadam. tunggu nantilah bila saya rajin saya mungkin akan pindahkan kiriman-kiriman lama ke sini, ataupun tidak. saya tak pasti apa yang saya mau capai bila saya buat begitu -- sejak dua tahun ini, saya kerap memadam blog/akaun, kemudian bila dah bosan, saya buka pula blog/akaun baru. sama macam medsos lainnya. anggarannya, setiap empat bulan, fasa ini kerap berulang. 

saya tak pernah setia kepada satu cara saja. itulah yang saya banggakan kini. saya dah berani melepaskan tanpa perlu berfikir panjang. mungkin ini caranya saya bersedia untuk mematikan diri, dan juga cerita-cerita yang pernah hidup. mungkin inilah caranya saya pergi tanpa perlu diberitahu caranya macam mana. tidak perlu ucapan selamat tinggal atau apa-apa sajalah. 

dan saya lebih sukakan suasana di [...], sekurang-kurangnya kalau saya tidak mencarutmaki di buku, saya ada ruang peribadi untuk memuntahkan segala macam perasaan dan fikiran. walaupun tak ada orang baca, walaupun keluhannya sama saja, walaupun tak ada sebab tertentu untuk terus bercerita, iya, walaupun dah sibuk menjadi orang biasa-biasa -- saya fikir, manusia akan terus begitu. saya akan terus mencari ruang dan peluang untuk lunaskan hal-hal yang saya hargai, meskipun tiada alasan/tragedi terkini, sebab sesuatu itu sudahpun menjadi sebahagian diri ini. sama jugalah macam mana saya dipaksa berlembut hati, mengasihani malangnya kasut orang lain, pinjamkan bahu dan tadahkan telinga -- maaf, saya dah kerat semula jari dan telinga, tahun depan kita jumpa lagi -- dsb., tapi saya tidak pernah belajar merendahkan diri disebabkan kekangan ruang dan peluang. atau saya saja selama ini masih mengimani bahawa kita semua ini memang malang dalam kisah hidup masing-masing, tapi kita jualah yang perlu terlebih dahulu memahami diri sendiri.

dan hal-hal yang saya hargai itu pula mengajar saya bahawa saya tidak semestinya memerlukan alasan yang kekal untuk hidup. saya perlu hidup seadanya saja. 

saya tak tahu kalau itu jawapan yang sepatutnya saya beri kalau orang tanya (lagi) saya hidup untuk apa. ya, dan kitaran soalan ini akan terus berulang, lagi dan lagi, sampailah saya masuk ke dalam tanah nanti.