jalan sibuk untuk orang sunyi


ada orang pernah jadi bodoh atau dibodohkan sesuatu. kemudian dia tak sengaja sedar atau separa sedar, belajar sesuatu dari benda camgitu, sedia untuk memaafkan sekecil apa pun, dan mati-matian sekolahkan diri janganlah diulangi sesuatu yang bodoh itu lagi. tapi bila saya jadi bodoh atau dibodohkan ego sendiri, saya tak pernah belajar semua itu.

memetik cakapcakap abang Bruno dulu: terlalu mentah dan bodoh untuk faham.

ia adalah hal remeh-temeh seperti bersekolah asrama sebab ramai adik, makan ayam daging berbanding ikan, suka pilihkasih (padahal) kentut sama busuk, dan ikut kawan pergi mengaji. atau sesuatu yang hidup sunyi dalam ruang imaginasi. tak kisahlah apa. bila saya buat silap sepanjang hidup ini, saya cuma fikir, tak ada beza pun jikalau saya buat begitu secara tak sengaja atau separa sedar. tak ada benda yang tiba-tiba jadi meskipun silap kecil, semua pun pakai kudrat dan ikut masa.

dan saya ambil masa yang agak lamalah mau terima apa akibatnya (dan benda-benda yang saya tak sebut, mestilah kena taubat). bukanlah sebab saya tak berakal atau buat jenayah, cuma seronok bila jumpa orang yang saya boleh jadi ‘bodoh’ bersama. kadang seronok, kadang stress. orang luar menganggap ia sesuatu yang lewah meski tak melanggar apa-apa prinsip, macam ajak orang baca buku berbanding dengar lagu. sesudah tamat sekolah, saya pun berhenti mengajak orang itu ini sebab saya pun sebenarnya tak berapa betul (atau ianya perubahan hormon semata). saya merindui jugalah zaman sekolah, lebih-lebih lagi bulan puasa dan kawan-kawan berqiyamullail bersama. itulah fasa-fasa terawal saya belajar mengenal diri dan Tuhan.

kelakarnya, masa itu, saya anggap kepala hotak sayalah paling betul. ibarat tengok dunia ini dalam dua warna cuma: putih atau hitam. padahal ada kelabu dan warna lain-lain juga tapi saya sendiri tak mau cuba tengok. ego.

sekarang? sekarang saya pilih jalan sunyi untuk jadi sibuk. mau mengaku ya saya silap dulu pun sukar bila di depan orang, kan, apalagi kepada diri sendiri?

tapi ini bukan cerita dongeng. kita semua pun mengulang ucap jalan hidup ini panjang dan sunyi sampailah kita mati nanti sebab kita anggap tak ada beza pun pengalaman lalu dan kini. mungkin kita terlupa bahawa kita belajar memahami sesuatu itu bila kita dah bersedia mau terima nasihat yang mahapahit. hakikatnya, hidup ini adalah sebuah perjuangan untuk kita belajar menerima kekurangan diri dan menyemai kasihsayang kepada yang sudi.

teruslah berjalan meskipun sunyi, kerana jalan sunyi ini hanyalah milik orang yang benar-benar sibuk berjuang (dan atas segala hal yang pernah bodohkan saya dulu, bersabarlah, I’m still learning).