berhenti berharap


cita-cita saya dah bertukar beberapa kali sejak akhir-akhir ini, sejak saya dah lupa cara bermimpi. kalau bukan pasal cita-cita pun, saya pikir dah banyak kali saya pakai buang sangkaan lama dan baharu: dulu saya pikir bulan ikut saya tapi kini fahamlah saya bulan sedang mengelilingi bumi. dulu saya tak heran sangat dengan buku tapi sekarang saya dah terikut-ikut kawan yang suka baca buku. dulu macam ini, dulu macam itu.

dan banyak lagilah cerita dulu-lawan-sekarang lepas itu. kamu cubalah senaraikan sendiri benda tak penting macam itu, mesti tak terkira jumlahnya. tak kisahlah banyak atau sikit, penting atau remeh-temeh, sekurang-kurangnya saya dah cuba cakna kelemahan dan kelebihan diri.

cakap pasal buku, saya belum habis baca For One More Day lagi tapi sebenarnya buku ini memang seronok dibaca—macam tengah jatuh cinta—sebab Mitch Albom memang pandai bercerita. tapi ini bukanlah kisah cinta klise, ia buku tentang kematian orang yang kita kasihi dan macam tajuknya juga: apa kamu nak buat jika diberi peluang sehari lagi (bersama mak)?

saya pun tak pasti apa yang saya akan buat. pada awalnya mungkin kami jadi kekok, seingat saya, arwah mama tak begitu banyak bercakap sama macam saya. kami sama-sama membatu sambil hirup kopi atau air sirap mungkin.

okey, memanglah kita takkan jumpa lagi orang yang dah pergi, tapi dalam kepala kita ini mestilah hari-hari mencari kunci kemaafan (tak kisah kunci apa) yang entah letaknya di mana, kan. kunci itu pula sebagai pemudah cara kita berdamai dengan masa silam yang tak pernah kita cerita selama ini, selama beberapa tahun ini.

sebab saya tak pernah ada momen terakhir dengan mama dulu, tak sempat ucap selamat tinggal pun. jadi bila saya baca buku ini, saya pikir, mungkin tak ada apa-apa yang perlu saya minta pun.

mungkin tak semua orang cari kunci yang sama.

walaupun masa itu saya bukanlah budak kecil lagi—saya dah pandai goreng telur atau buat tocang di rambut adik—rasanya saya tak berdendam apa-apa. saya tak pernah salahkan Tuhan atau orang yang berbuat khianat dekat keluarga kami. cukup sekadar saya angguk bila diberitahu itu ini dan saya terima saja ketiadaan mama selama saya membesar: belajar pakai tudung dengan ustazah di sekolah, belajar terima abah jadi mama dan banyak lagi.

agaknya budak-budak memang mudah telan benda pahit dalam sekelip mata.

dia menangis melolong bila dipaksa makan ubat, hingus meleleh serupa lumut dan seminit lepas itu dia dah melompat girang. macam itulah keadaan kami lima beradik masa itu. ia hari-hari suram yang singkat. awal-awal rasa sepi tapi tenang, dan perjalanan balik ke rumah—dari Kinarut ke Tenom naik keretapi—rasa sekejap saja, malam atau esok harinya dah dibuat kenduri tahlil di rumah.

apa-apa pun, saya masih mau teruskan hidup biarpun pemergian orang yang saya kasihi dah silih berganti, biarpun mereka pergi membawa cita-cita dan mimpi yang tak sempat saya berikan nama lagi. maknanya, hidup dah kurang bererti (tapi perlu diteruskan). dah tak ada tempat terindah hendak dituju, sekadar pikul beban rindu dan rahsia.

saya pernah berpendapat, cerita-cerita sebegini (kematian orang tua misalnya) tak membawa apa-apa untung. kita bercakap mengenai kesedihan tapi ia kesedihan yang bakal dihadapi orang lain juga. ada ke orang yang tak pernah hilang orang yang dia sayang di dunia ini? jadi, saya tak menganggap ia hal istimewa sebab kita tak kena cakap tentangnya setiap hari pun, jika tidak, ia seolah-olah kita hidup ini untuk manusia dan kenangan cuma.

bukankah kematian sudah lama menjadi sebahagian dari hidup kita yang punya titik awal dan akhir?

dan atas sebab yang sama jugalah—bahawa kita ini manusia lemah—kita sebenarnya tak boleh menidakkan perasaan dan prasangka yang terbit di hati. rasa sedih, marah atau kagum sepatutnya diurus dengan baik. mungkin saya tak rasa ia penting sebab saya tak pernah bercakap soal kematian selama ini. mungkin saya dah terlalu sibuk melayan dunia sendiri, tak punya masa untuk hal seremeh itu. saya tak anggap orang lain penting sebab akhirnya semua orang akan pergi tinggalkan kita, kan?

atau saya yang pergi dulu? entahlah.

(sambung baca buku)